PERKONGSIAN PENGGERAK UTAMA (PRIME MOVER) UNTUK MENARIK TRELER DALAM KUMPULAN SYARIKAT [SIARAN MEDIA KEMENTERIAN PENGANGKUTAN MALAYSIA]
SIARAN MEDIA
KEMENTERIAN PENGANGKUTAN MALAYSIA
Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) sentiasa komited untuk memudahcara industri logistik supaya ianya dapat meningkatkan kecekapan dan daya saing dalam industri tersebut. Komitmen ini akan dizahirkan dengan pelaksanaan perubahan polisi bagi membenarkan perkongsian penggerak utama (prime mover) dan treler di dalam kumpulan syarikat yang sama.
Langkah untuk melaksanakan perkara ini adalah selaras dengan prinsip perkongsian ekonomi dan peranan Malaysia melalui MOT sebagai negara peneraju inisiatif logistik hijau di bawah ASEAN.
Pelaksanaan perubahan polisi ini akan melibatkan perkara-perkara seperti berikut:
- Pegangan ekuiti syarikat induk dalam anak syarikat adalah sekurangkurangnya 51% dan syarat-syarat lain berkaitan dengannya;
- Berat Dengan Muatan (BDM) prime mover dan treler yang dibenarkan untuk pertukaran (interchanging) adalah tertakluk kepada BDM semi treler atau treler atau Berat Gabungan Kasar (BGK) prime mover yang terendah di antara keduanya;
- Penguatkuasaan ke atas kesalahan di bawah akta-akta yang terlibat dengan perubahan polisi ini akan dikenakan ke atas prime mover sahaja;
- Prime mover atau treler yang ingin dikongsi di bawah kumpulan syarikat mestilah telah berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk permohonan di Semenanjung Malaysia dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) bagi Sabah dan Sarawak; dan
- Perubahan polisi ini hanya dihadkan kepada kargo kontena (containerised cargo) sahaja pada masa ini sehingga diberitahu sebaliknya.
Pelaksanaan ini adalah dilihat sebagai satu usaha untuk memperkasakan industri logistik agar dapat mengoptimumkan sumber sedia ada terutamanya dalam keadaan yang sangat mencabar pada masa ini. Secara kasar, dianggarkan kumpulan syarikat akan dapat menjimatkan kos operasi sebanyak 10% hingga 20% memandangkan ianya dapat memendekkan kadar pusingan pergerakan prime mover serta menjimatkan masa.
Selain itu, ia juga akan membantu menurunkan kenaikan kos menjalankan perniagaan (cost of doing business) memandangkan syarikat pengangkutan akan dapat mengurangkan perbelanjaan modal (capital expenditure) dan kos operasi. Penurunan ini disumbangkan oleh kebolehan syarikat pengangkutan untuk mengoptimumkan perkongsian sedia ada tanpa perlu menambah bilangan treler apabila perkara ini dilaksanakan.
Setakat ini terdapat 67,613 lori yang membawa kargo kontena di Semenanjung Malaysia, 7,278 di Sarawak dan 1,467 di Sabah. Pelaksanaan ini bukan sahaja akan memanfaatkan syarikat-syarikat pengangkutan tetapi ianya turut menyumbang kepada peningkatan kecekapan ekosistem.
MOT melalui National Logistics Task Force (NLTF) atau Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan sentiasa menjalankan kajian untuk memudahcara dan menambah baik peraturan sedia ada dalam usaha memastikan industri mempunyai daya saing yang tinggi. Kajian terhadap pelaksanaan perkara ini akan dijalankan dari semasa ke semasa selaras dengan National Policy on Good Regulatory Practice (NPGRP).