Sesi dialog bersama Persatuan Pelesen Kenderaan Perdagangan di Zon Utara
MIRI: Khamis – Satu program Sesi dialog bersama Persatuan Pelesen Kenderaan Perdagangan di Zon Utara yang dipengerusikan oleh Pengerusi LPKP Sarawak, Dr. Ripin Lamat, telah diadakan di Bilik Mesyuarat Utama Aras 9, Kompleks Islam Miri, pagi tadi.
Objektif sesi dialog ini diadakan adalah bagi mendapatkan pandangan dan maklumbalas daripada wakil persatuan berkaitan pelesenan kenderaan perdagangan; sebagai platform untuk berkongsi masalah serta isu yang dihadapi oleh pelesen kenderaan perdagangan; serta sebagai platform bagi memupuk kerjasama dan persefahaman antara LPKP Sarawak dan juga pelesen.
Dapatan dan maklumbalas daripada sesi dialog ini nanti diharap akan dapat dijadikan sebagai panduan bagi penambahbaikan dasar dan peraturan berkaitan pelesenan kenderaan perdagangan di Sarawak.
Seramai 20 orang wakil hadir yang mewakili pelbagai persatuan pelesen kenderaan perdagangan di Zon Utara Sarawak, termasuk wakil persatuan lori, teksi, kereta sewa dan bas sekolah. Sesi dialog yang sama juga akan diadakan di Kuching pada 26 November 2021 bagi persatuan pelesen kenderaan perdagangan di Zon Selatan.
BANTUAN KEWANGAN KERAJAAN SECARA ONE OFF KEPADA PEMANDU KENDERAAN PERDAGANGAN
Sepanjang tahun 2021, selain daripada fungsi utama iaitu mengeluarkan lesen kenderaan perdagangan, LPKP Sarawak juga telah diamanahkan untuk membantu kerajaan mengagihkan bantuan one off kerajaan di bawah insitatif program Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).
Program ini dilaksanakan bagi membantu mengurangkan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 yang melanda Negara. Di bawah program ini penerima yang layak terdiri daripada pemandu teksi, kereta sewa, bas sekolah, bas persiaran dan e-hailing akan mendapat bantuan sebanyak RM500.00 daripada kerajaan secara one off.
Pada tahun 2021, Seramai 4140 orang telah mendapat manfaat di bawah inisiatif PERMAI. Manakala di bawah inisiatif PEMERKASA, seramai 4094 penerima telah yang layak mendapat bantuan.
Turut hadir sama dalam program tersebut ialah Pengarah LPKP Sarawak, Puan Masitah Annuar; Pengarah JPJ Sarawak, Tuan Norizan Jili; Ketua Jabatan Siasatan & Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendant Alexson Naga anak Chabu; Timbalan Pengarah LPKP Sarawak, Tuan Razami Mohamad Jamali serta pegawai-pegawai kanan LPKP Sarawak.