Sesi Dialog bersama Persatuan Pelesen Kenderaan Perdagangan di Zon Tengah Sarawak
Published On: Disember 2, 2021Categories: Berita, Galeri

SIBU: Khamis – Pengerusi LPKP Sarawak, Dr. Ripin Lamat, sekali lagi meluangkan masa turun padang untuk bersama-sama para pelesen di Zon Tengah Sarawak dalam Sesi Dialog bersama Persatuan Pelesen Kenderaan Perdagangan yang berlangsung di sini hari ini.

Sesi dialog kali ini merupakan siri ketiga selepas di Miri dan Kuching yang telah diadakan pada 25 dan 26 November yang lalu. Bandar Sibu dipilih sebagai lokasi seterusnya bagi mewakili Zon Tengah Sarawak.

Program sesi dialog ini diadakan adalah bertujuan untuk mendapatkan pandangan dan maklumbalas daripada wakil persatuan berkaitan pelesenan kenderaan perdagangan; sebagai platform untuk berkongsi masalah serta isu yang dihadapi oleh pelesen kenderaan perdagangan; serta memupuk kerjasama dan persefahaman antara LPKP Sarawak dan juga pelesen.

Semasa sesi dialog itu juga beliau turut mengumumkan bahawa bersesuaian dengan normal baharu pasca COVID-19, LPKP Sarawak bakal melaksanakan sistem permohonan lesen secara dalam talian (online) yang akan bermula pada pertengahan Februari 2022. Sistem ini berasaskan web-base yang boleh diakses di mana mana sahaja, diharapkan akan dapat memberikan kemudahan kepada pelesen dan meningkatkan kecekapan urusan permohonan lesen.

Melalui pelaksanaan permohonan lesen secara dalam talian ini, pelesen tidak lagi perlu mengisi borang secara manual dan hadir berulang kali ke pejabat LPKP. Sebaliknya permohonan dan bayaran akan dibuat secara dalam talian, dan pemohon hanya perlu hadir berurusan di pejabat LPKP untuk mengambil lesen sahaja.

Sehubungan itu, bagi membiasakan pengguna dengan sistem ini, LPKP Sarawak akan mengadakan beberapa sesi engagement bersama persatuan-persatuan pelesen untuk memberikan penerangan dan latihan tentang penggunaan sistem tersebut nanti.

Seramai 15 orang wakil daripada persatuan kenderaan perdagangan di Zon Tengah menghadiri sesi dialog tersebut yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Gunasama, Wisma Persekutuan Blok 2, Jalan Awang Ramli Amit, Sibu.

BANTUAN KEWANGAN KERAJAAN SECARA ONE OFF KEPADA PEMANDU KENDERAAN PERDAGANGAN

Sepanjang tahun 2021, selain daripada fungsi utama iaitu mengeluarkan lesen kenderaan perdagangan, LPKP Sarawak juga telah diamanahkan untuk membantu kerajaan mengagihkan bantuan one off kerajaan di bawah insitatif program Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA). Program ini dilaksanakan bagi membantu mengurangkan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 yang melanda Negara. Di bawah program ini penerima yang layak terdiri daripada pemandu teksi, kereta sewa, bas sekolah, bas persiaran dan e-hailing akan mendapat bantuan sebanyak RM500.00 daripada kerajaan secara one off.

Pada tahun 2021, Seramai 4140 orang telah mendapat manfaat di bawah inisiatif PERMAI. Manakala di bawah inisiatif PEMERKASA, seramai 4094 penerima telah yang layak mendapat bantuan.

Sementara itu, di bawah Kerajaan Negeri Sarawak, melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0, golongan pemandu teksi, kereta sewa dan pengusaha bas sekolah yang berdaftar di Sarawak juga tidak ketinggalan mendapat bantuan sebanyak RM600, manakala pengendali e-hailing sebanyak RM500 telah diberikan secara one-off yang dibayar melalui Sarawak Pay.

Turut hadir sama semasa program kali ini ialah Pengarah LPKP Sarawak, Puan Masitah Annuar Timbalan Pengarah LPKP Sarawak, Tuan Razami Mohamad Jamali; Timbalan Ketua Jabatan Siasatan & Penguatkuasaan Trafik Sarawak, DSP Mathew Manggie; wakil daripada Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS), Dr. Lawrence Tseu Sed Kong; Ketua Cawangan JPJ Sibu, Encik Mohd. Faizal Abdullah; Pengurus PUSPAKOM Sibu, Tuan Ashamadi Madeni serta pegawai-pegawai kanan LPKP Sarawak.

Kami Sedia Berkhidmat

Dapatkan khidmat nasihat daripada kami berkaitan pelesenan dan perkhidmatan semasa kami.

Hubungi kami!