Program kedua Sesi Dialog bersama Persatuan Pelesen Kenderaan Perdagangan oleh Pengerusi LPKP Sarawak untuk Zon Selatan
Published On: November 26, 2021Categories: Berita, Galeri

KUCHING: Jumaat – Program kedua Sesi Dialog bersama Persatuan Pelesen Kenderaan Perdagangan oleh Pengerusi LPKP Sarawak, Dr. Ripin bin Lamat, khusus bagi Zon Selatan, telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama LPKP Sarawak, petang tadi.

Objektif sesi dialog ini diadakan adalah bagi mendapatkan pandangan dan maklumbalas daripada wakil persatuan berkaitan pelesenan kenderaan perdagangan; sebagai platform untuk berkongsi masalah serta isu yang dihadapi oleh pelesen kenderaan perdagangan; serta sebagai platform bagi memupuk kerjasama dan persefahaman antara LPKP Sarawak dan juga pelesen.

Dapatan dan maklumbalas daripada sesi dialog ini nanti diharap akan dapat dijadikan sebagai panduan bagi penambahbaikan dasar dan peraturan berkaitan pelesenan kenderaan perdagangan di Sarawak.

Seramai 11 orang wakil persatuan lori, teksi, kereta sewa dan bas sekolah telah hadir ke sesi dialog tersebut yang mewakili pelbagai persatuan pelesen kenderaan perdagangan yang terdapat di Zon Selatan Sarawak.

BANTUAN KEWANGAN KERAJAAN SECARA ONE OFF KEPADA PEMANDU KENDERAAN PERDAGANGAN

Sepanjang tahun 2021, selain daripada fungsi utama iaitu mengeluarkan lesen kenderaan perdagangan, LPKP Sarawak juga telah diamanahkan untuk membantu kerajaan mengagihkan bantuan one off kerajaan di bawah insitatif program Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA). Program ini dilaksanakan bagi membantu mengurangkan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 yang melanda Negara. Di bawah program ini penerima yang layak terdiri daripada pemandu teksi, kereta sewa, bas sekolah, bas persiaran dan e-hailing akan mendapat bantuan sebanyak RM500.00 daripada kerajaan secara one off.

Pada tahun 2021, Seramai 4140 orang telah mendapat manfaat di bawah inisiatif PERMAI. Manakala di bawah inisiatif PEMERKASA, seramai 4094 penerima telah yang layak mendapat bantuan.

Sementara itu, di bawah Kerajaan Negeri Sarawak, melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0, golongan pemandu teksi, kereta sewa dan pengusaha bas sekolah yang berdaftar di Sarawak juga tidak ketinggalan mendapat bantuan sebanyak RM600, manakala pengendali e-hailing sebanyak RM500 yang diberikan secara one-off yang dibayar melalui Sarawak Pay.

Turut hadir sama semasa program kali ini ialah Timbalan Pengarah LPKP Sarawak, Tuan Razami Mohamad Jamali; Pengurus Wilayah, PUSPAKOM Sabah & Sarawak, Puan Liza Jayub Abdullah; Timbalan Pengarah JPJ Sarawak, Tuan Erick Jusiang; Timbalan Ketua Jabatan Siasatan & Penguatkuasaan Trafik Sarawak, DSP Mathew Manggie; wakil daripada Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) serta pegawai-pegawai kanan LPKP Sarawak.

Kami Sedia Berkhidmat

Dapatkan khidmat nasihat daripada kami berkaitan pelesenan dan perkhidmatan semasa kami.

Hubungi kami!