Pengerusi dan Anggota Lembaga LPKP Sarawak adakan lawatan kerja ke Sibu dan Sarikei
Published On: Ogos 19, 2025Categories: Aktiviti, Articles, Galeri, Makluman, Uncategorized @ms
SARIKEI, 14 Ogos 2025 – Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, Encik Michael Kong Feng Nian bersama-sama Pengarahnya, Puan Cornelia Wong Chui dan Anggota Lembaga telah mengadakan lawatan kerja dua hari ke Sibu dan Sarikei, Sarawak bermula 13 hingga 14 Ogos 2025.
Lawatan kerja tersebut merupakan program turun padang LPKP Sarawak bagi menyantuni golongan pemain industri pengangkutan awam di Zon Tengah Sarawak.
Sebanyak dua Sesi Libat Urus LPKP Sarawak telah dijalankan semasa lawatan kerja tersebut iaitu Sesi Libat Urus bersama Persatuan Teksi dan Kereta Sewa serta Sesi Libat Urus bersama Pengusaha Bas Berhenti-henti (BBH) di Zon Tengah Sarawak.
Seramai 10 orang ahli persatuan daripada Persatuan Teksi Bahagian Sibu, Sibu Taxi Owner Association dan Persatuan Kereta Sewa Sibu, Kapit serta Kanowit telah menghadiri program tersebut yang bertujuan untuk mengenalpasti isu dan cabaran yang dihadapi oleh pemain industri di lapangan. Di samping itu, Pengerusi LPKP Sarawak turut mencadangkan peralihan penggunaan meter teksi tradisi kepada meter digital melalui aplikasi e-hailing bagi membantu pengusaha teksi memodenkan perkhidmatan teksi serta meningkatkan kebolehpercayaan orang awam mengenai ketelusan tambang teksi.
Manakala Sesi Libat Urus bersama Pengusaha BBH pula telah dihadiri oleh 11 orang wakil daripada enam buah syarikat BBH yang beroperasi di Zon Tengah Sarawak. Sesi libat urus tersebut adalah bertujuan bagi membincangkan penggunaan Sistem Mesin Tiket Elektronik (ETM) termasuk fungsi GPS, Sistem Bayaran Tanpa Tunai ke atas BBH dan perkongsian mengenai cadangan syarat-syarat pelesenan baharu di bawah Dasar Kelas Lesen BBH akan datang.
Sementara itu, pada hari berikutnya, Pengerusi serta rombongan telah bertolak ke Sarikei bagi mengadakan Mesyuarat Lembaga LPKP Sarawak bertempat di Bilik Mesyuarat Kompleks JPJ Cawangan Sarikei. Seterusnya, beliau turut mengambil peluang untuk meninjau suasana Stesen Bas Sarikei dan Terminal Bas Sibu sebelum berangkat balik ke Kuching.
Turut menyertai lawatan kerja tersebut ialah Anggota Lembaga, Pengarah Pusat Logistik Negara Kementerian Pengangkutan Malaysia, Puan Norhasliza Mat Salleh; Anggota Silih Ganti, Pegawai Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Kuching, ASP Mohamad Radzi Hatta; wakil daripada Kementerian Pengangkutan Sarawak, Encik Muhd Nur Salam Mustapha serta wakil daripada JPJ Sarawak, Encik Saifullah Haji Ali dan Encik Rajauddin Aslam Muniandy.

Kami Sedia Berkhidmat

Dapatkan khidmat nasihat daripada kami berkaitan pelesenan dan perkhidmatan semasa kami.

Hubungi kami!