Majlis Menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Program Bas Berhenti-henti (SBST) di Kuching
Published On: Oktober 17, 2024Categories: Aktiviti, Berita, Galeri, Makluman
Majlis Menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Program Bas Berhenti-henti (SBST) di Kuching di antara Kerajaan Malaysia dan Biaramas Express Sdn. Bhd.
KUCHING, 11 Oktober – Menteri Pengangkutan Malaysia, YB Loke Siew Fook telah menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Program Bas Berhenti-henti (SBST) di Kuching antara Kerajaan Malaysia dan Biaramas Express Sdn. Bhd bertempat di salah sebuah hotel di Kuching, pagi tadi.
Pada masa yang sama beliau turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Biaramas Express Sdn. Bhd. dan GVT Sdn. Bhd.
Dalam ucaptama majlis, YB Loke Siew Fook menjelaskan objektif utama program Bas Berhenti-henti atau Stage Bas Service Transformation (SBST) adalah untuk meningkatkan kebolehcapaian, kebolehpercayaan dan kesalinghubungan serta kemudahan dan kecekapan perkhidmatan bas berhenti-henti.
Program SBST juga bertujuan untuk memastikan bas awam mudah diakses oleh semua pengguna, termasuk golongan OKU yang mana turut memperkenalkan bas lantai rendah yang sesuai untuk kemudahan pengguna kerusi roda.
Program SBST, yang dikenali dengan jenama BAS.MY, dijangka akan bermula di Kuching awal tahun hadapan dengan jumlah bajet RM79.2 juta dalam tempoh lima tahun.
Sebanyak 56 buah Bas Bandar di bawah program SBST ini bakal berada di atas jalan sekitar Kuching yang turut dilengkapi dengan ciri kemudahan moden bagi meningkatkan pengalaman penumpang bas. Bas-bas ini sudah pun berada di jalan raya di Seremban dan Melaka dan akan dilancarkan secara berperingkat ke bandar-bandar utama di seluruh Negara.
Hadir sama ke majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan Sarawak, YB Dato Sri Lee Kim Shin; Presiden Persekutuan Perniagaan Sarawak, Dato Sri Abang Haji Abdul Karim Tun Datuk Abang Haji Openg; Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak, Datu Wong Hee Sieng; Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sarawak, Encik Michael Kong Feng Nian; Pengurus Besar Biaramas Express Sdn Bhd, Encik Lai Sin Kiong serta Pengarah Eksekutif GVT Sdn Bhd, Encik Wan Ahmad Wan Omar.

Kami Sedia Berkhidmat

Dapatkan khidmat nasihat daripada kami berkaitan pelesenan dan perkhidmatan semasa kami.

Hubungi kami!