Kaunter pendaftaran kad konsesi dan pas 30 hari BAS.MY Kuching dibuka hari ini
Kaunter pendaftaran kad konsesi dan pas 30 hari BAS.MY Kuching dibuka hari ini
KUCHING, 18 Mac – Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, Encik Michael Kong Feng Nian 江峰年 bersama-sama Pengarahnya, Puan Cornelia Wong Chui telah membuat tinjauan sesi pendaftaran kad konsesi dan pas 30 hari BAS.MY Kuching yang dibuka bermula hari ini bertempat di Open Air Market, Kuching, pagi tadi.
Perkhidmatan BAS.MY Kuching yang telah memulakan operasinya pada 5 Mac di Laluan Q10 (Open Air Market – Serian) merupakan penjenamaan semula Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti atau Stage Bus Service Transformation (SBST) di bawah inisiatif Kerajaan Persekutuan akan dilaksanakan secara berfasa sehingga menjelang April 2025.
Menurut Pengarah Biaramas Express (Bus Asia) Sdn. Bhd., Encik Lai Sin Kiong, kaunter pendaftaran di lokasi tersebut dibuka kepada orang ramai dari 8 pagi hingga 12 tengah hari sepanjang bulan ini. Selepas tempoh tersebut, pemohon boleh membuat pendaftaran di pejabat Bus Asia yang terletak berhadapan dengan lampu isyarat Open Air Market.
Seramai 46 orang pemohon telah berjaya mendaftar pada hari pertama pembukaan kaunter tersebut. Sementara itu, Encik Michael Kong juga tidak melepaskan peluang untuk mendaftar pas 30 hari BAS.MY Kuching sebagai tanda sokongan.
Pada masa yang sama, Encik Michael Kong turut menyerahkan kad konsesi kepada pesara Encik Afandi Nordin sebagai simbolik penerima pertama kad konsesi BAS.MY Kuching.