LPKP Sarawak anjur Mesyuarat Pencapaian Sasaran Kerja Utama (SKU) dan Kajian Semula Pelan Strategik Organisasi (PSO) tahun 2025
KUCHING, 27 November 2025 – Pengarah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, Puan Cornelia Wong Chui telah mempengerusikan Mesyuarat Pencapaian Sasaran Kerja Utama (SKU) dan Kajian Semula Pelan Strategik Organisasi (PSO) bagi tahun 2025 bertempat di salah sebuah hotel di sini.
Mesyuarat yang diadakan selama tiga hari bermula 24 hingga 26 November 2025 adalah bertujuan untuk membincangkan pencapaian SKU setiap bahagian, cawangan dan unit di bawah LPKP Sarawak sepanjang tahun 2025 selaras dengan PSO yang telah ditetapkan.
Pada masa yang sama, beberapa program dan aktiviti di bawah PSO LPKP Sarawak turut dikaji semula serta ditambah baik supaya teras perkhidmatan agensi sentiasa relevan kepada pemain industri pengangkutan di Sarawak dalam jangka masa lima tahun akan datang.
Seramai 30 orang pegawai LPKP Sarawak daripada Ibu Pejabat Kuching, Cawangan Sibu dan Cawangan Miri telah menghadiri mesyuarat tersebut yang diadakan secara fizikal.
Hadir sama ke mesyuarat tersebut ialah Timbalan Pengarah, Encik Razami Mohamad Jamali; Ketua Bahagian Pelesenan, Puan Rosidah Mohtar; Ketua Bahagian Perancangan Strategik, Encik Abang Zulkarnain Abang Haji Ibrahim; Ketua Bahagian Pematuhan, Encik Faizul Azri Suhaili; Pegawai Undang-Undang, Puan Jacqueline Charlie; Ketua Bahagian Teknologi Maklumat, Encik Carlos Remonza Sullong; Ketua Cawangan Sibu, Encik Wong Siong Siang; serta Ketua Cawangan Miri, Puan Elizebeth Mayang Thomas.
















