Sesi Kunjungan Hormat Pengerusi LPKP Sarawak kepada Pengarah JKR Sarawak
KUCHING, 30 September – Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, Encik Michael Kong Feng Nian bersama rombongan telah mengadakan Kunjungan Hormat kepada Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, YBrs. Tuan Ir. Dr. Cassidy anak Morris bertempat di pejabat beliau di Wisma Saberkas, pagi tadi.
Kunjungan hormat tersebut adalah bertujuan bagi membincangkan beberapa perkara yang berkaitan dengan pelesenan kenderaan perdagangan iaitu kajian semula Perintah Sekatan Berat (WRO) Jalan Persekutuan di Lebuh Raya Pan Borneo serta tempoh kelulusan pihak JKR Sarawak ke atas permohonan lesen kenderaan perdagangan yang mempunyai berat dengan muatan (BDM) melebihi 38000kg. Sesi pembentangan telah disampaikan oleh Pengarah LPKP Sarawak, Puan Cornelia Wong Chui.
Sesi kunjungan hormat ini merupakan yang pertama diadakan oleh LPKP Sarawak dan berharap agar sesi ini menjadi landasan untuk bertukar-tukar pandangan serta idea seterusnya dapat menjalinkan kerjasama di antara LPKP Sarawak dan JKR Sarawak.
Dalam ucapan penutup oleh Ir. Dr. Cassidy, beliau amat berbesar hati dengan inisiatif pertemuan di antara LPKP Sarawak dan JKR Sarawak serta mengambil maklum dengan beberapa isu yang dikemukakan. Sehubungan itu beliau bersetuju dengan cadangan melanjutkan tempoh kelulusan kebenaran bagi kenderaan perdagangan BDM lebih 38000kg daripada satu (1) tahun kepada tiga (3) tahun.
Hadir sama semasa sesi kunjungan hormat tersebut ialah Timbalan Pengarah (Infrastruktur) JKR Sarawak, YBrs. Ir. Wisil anak Lichok; Anggota Silih Ganti, ASP Mohamad Radzi bin Hatta; Ketua Seksyen Operasi JPJ, Encik Saifullah Hj. Ali; Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pematuhan LPKP Sarawak, Encik Faizul Azri Suhaili serta Pegawai Undang-Undang, Puan Jacqueline anak Charlie.










