25.09.26 : LANGKAH KE HADAPAN: LPKP SARAWAK PERKUKUH DASAR PENGOPERASIAN ART
Published On: Oktober 8, 2026Categories: Aktiviti, Galeri, Makluman
KUCHING, 25 September 2026 – Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak meneruskan komitmen dalam memperkukuh kerangka kawal selia pengangkutan awam negeri menerusi Bengkel Penyediaan Dasar Kelas Lesen Bas Berhenti-henti (Khas Untuk Autonomous Rapid Transit – ART) yang berlangsung selama dua hari bermula 24 hingga 25 September 2026 bertempat di salah sebuah hotel berdekatan.
Bengkel berkenaan telah dirasmikan oleh Pengarah LPKP Sarawak, Puan Cornelia Wong Chui, dan menghimpunkan wakil daripada agensi Persekutuan dan Negeri yang terlibat secara langsung dalam aspek dasar, perundangan, pelesenan, keselamatan, penguatkuasaan serta pengoperasian sistem ART.
Antara agensi yang terlibat ialah Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), LPKP Sarawak, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, PDRM, Sarawak Metro serta PUSPAKOM.
Bengkel ini memberi tumpuan kepada tiga objektif utama, iaitu penyediaan draf dasar ART, penyelarasan aspek perundangan dan kawal selia serta pengukuhan kerjasama inter-agensi.
Dalam aspek penyediaan dasar, bengkel ini memberi ruang kepada pihak berkepentingan untuk merangka dan memuktamadkan draf awal dasar pengoperasian ART yang merangkumi aspek pendaftaran, pengeluaran lesen, standard keselamatan dan laluan perkhidmatan.
Pada masa yang sama, penyelarasan aspek perundangan dan kawal selia turut diberi penekanan bagi memastikan dasar yang dirangka selaras dengan Akta Lembaga Pemegang Lesen Kenderaan Perdagangan 1987, Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta peraturan-peraturan berkaitan.
Kerjasama strategik antara agensi Persekutuan dan Negeri juga menjadi elemen penting dalam bengkel ini bagi memastikan proses penyelarasan, kelulusan dan persediaan ke arah pengoperasian ART dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan bersepadu.
Dalam ucapan perasmiannya, Puan Cornelia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas komitmen serta kerjasama semua pihak yang terlibat dalam menjayakan bengkel tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa hasil perbincangan dan input yang diperoleh sepanjang bengkel akan diambil kira dalam penyediaan Dasar ART, seterusnya diangkat ke Mesyuarat Lembaga untuk pertimbangan.
Bengkel ini mencerminkan pendekatan kolaboratif antara agensi dalam memastikan aspek dasar dan kawal selia dapat disediakan dengan teliti, sekali gus menyokong kesiapsiagaan Sarawak ke arah pengoperasian sistem Autonomous Rapid Transit (ART) sebagai sebahagian daripada pembangunan ekosistem pengangkutan awam yang lebih moden, selamat dan bersepadu.
✨ Kolaborasi hari ini, kesiapsiagaan untuk mobiliti masa hadapan.

Kami Sedia Berkhidmat

Dapatkan khidmat nasihat daripada kami berkaitan pelesenan dan perkhidmatan semasa kami.

Hubungi kami!