Sesi Roadshow i-SPKP & Outreach Kuching 2024
KUCHING, 1 September – Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak telah mengadakan sesi Roadshow i-SPKP dan Outreach Kuching bersempena Program Jiwa Komuniti Madani peringkat Parlimen P193 Santubong anjuran Jabatan Penerangan Daerah Kuching bertempat di ruang legar, Mydin Vista Tunku, Petra Jaya, Kuching.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen P193 Santubong, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri. Beliau turut meluangkan masa untuk melawat ruang reruai LPKP Sarawak serta agensi-agensi lain.
Sesi Roadshow i-SPKP dan Outreach Kuching merupakan aktiviti turun padang bagi mendekati masyarakat seterusnya memperkenalkan LPKP Sarawak serta fungsi dan khidmat yang ditawarkan.
Di samping itu, sesi tersebut turut mempromosikan sistem i-SPKP kepada pengunjung yang hadir serta proses pendaftaran syarikat kenderaan perdagangan secara atas talian. Khidmat nasihat mengenai pelesenan kenderaan perdagangan juga diberikan kepada pengunjung.
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Ketua Unit Komunikasi Korporat LPKP Sarawak, Puan Normah Ja’afar dan pegawai teknikal Century Software, Encik Wilthon Sawing Seta.