Sesi Perjumpaan LPKP Sarawak bersama MAXIM
KUCHING, 22 September – Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, Encik Michael Kong Feng Nian telah mempengerusikan Sesi Perjumpaan bersama Syarikat Aist Malaysia Sdn. Bhd. (Maxim) bertempat di Ibu Pejabat LPKP Sarawak, Jalan Simpang Tiga.
Sesi perjumpaan tersebut merupakan inisiatif pihak Maxim untuk berkongsi penambahbaikan sistem Apps e-hailing Maxim kepada Anggota Lembaga LPKP Sarawak bagi memastikan Maxim sentiasa mematuhi syarat-syarat pelesenan yang telah ditetapkan kepada syarikat pengendali e-hailing (EHO). Sesi pembentangan tersebut disampaikan oleh Pegawai daripada Bahagian Undang-Undang Maxim, Encik Mushfique Ahmed Chowdhury.
Di samping itu, Maxim juga dicadangkan untuk mewujud dan berkongsi SOP Tindakan ke atas pemandu Maxim yang melanggar syarat lesen kenderaan e-hailing (EVP). Cadangan ini juga akan dipanjangkan kepada EHO yang lain bagi meningkatkan pematuhan syarat EVP dalam kalangan pemandu e-hailing serta faktor keselamatan penumpang.
Hadir sama ke sesi perjumpaan tersebut ialah Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Tuan Norizan Jili; Pengarah Pusat Logistik Negara, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Puan Norhasliza Mat Salleh (secara atas talian) serta Pengarah Maxim, Encik Mohd Hazwan Musley.














