Program Penanaman Anak Pokok LPKP Sarawak
LPKP Sarawak Adakan Program Penanaman Anak Pokok Sempena Program Santuni MADANI Di Kampung Tebakang Melayu, Serian
KUCHING, 5 Oktober – Pengarah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, Puan Cornelia Wong Chui telah mengetuai Program Penanaman Pokok bersempena dengan Program Santuni MADANI LPKP Sarawak bertempat di Kampung Tebakang Melayu, Serian.
Program Penanaman Pokok oleh LPKP Sarawak merupakan salah satu pengisian aktiviti di bawah Program Santuni MADANI yang bertujuan untuk menggalakkan penduduk kampung menanam sendiri anak pokok buah-buahan di samping menyahut sasaran Penanaman 1 Juta Anak Pokok di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) yang mana setiap Jabatan dan Agensi di bawah MOT telah diarahkan untuk melaksanakannya.
Bagi tujuan tersebut, LPKP Sarawak telah memohon sumbangan daripada Jabatan Pertanian Sarawak sebanyak 20 polibeg anak pokok buah-buahan untuk ditanam dan diagihkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tebakang Melayu, Serian.
Turut serta dalam program penanaman anak pokok tersebut ialah Penghulu Hj. Sahali Hj. Rayan; Ketua Kampung Tebakang Melayu, Encik Senyem Han; Timbalan Pengarah LPKP Sarawak, Encik Razami Mohamad Jamali serta Penolong Pengarah Kanan LPKP Sarawak, Puan Rosidah Mohtar.