LPKP SARAWAK RAI JASA, IKTIRAF KECEMERLANGAN DAN SEMARAKKAN SEMANGAT GAWAI
Published On: Jun 24, 2026Categories: Aktiviti, Galeri, Makluman
KUCHING, 23 Jun – Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak telah menganjurkan Majlis Persaraan Puan Sebah anak Nyandok, Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 serta Sambutan Hari Gawai 2026 dalam satu majlis yang sama sebagai manifestasi penghargaan terhadap jasa warga kerja, pengiktirafan kepada kecemerlangan perkhidmatan serta usaha memperkukuh semangat kekeluargaan dalam organisasi.
Majlis telah disempurnakan oleh Pengarah LPKP Sarawak, Puan Cornelia Wong Chui, dan dihadiri oleh Timbalan Pengarah LPKP Sarawak, Encik Razami Mohamad Jamali, pegawai-pegawai kanan serta seluruh warga LPKP Sarawak.
Dalam ucapannya, Puan Cornelia berkata, penganjuran majlis yang menggabungkan tiga pengisian utama itu mencerminkan komitmen LPKP Sarawak dalam membudayakan penghargaan, mengiktiraf kecemerlangan dan memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan warga kerja.
Majlis turut meraikan persaraan Puan Sebah anak Nyandok, Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi), yang akan bersara pilihan pada 2 Julai 2026 selepas hampir 28 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam, termasuk 10 tahun bersama LPKP Sarawak.
Bagi pihak seluruh warga LPKP Sarawak, Puan Cornelia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala jasa, dedikasi dan komitmen yang telah dicurahkan oleh Puan Sebah sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Pada majlis yang sama, beberapa warga LPKP Sarawak turut menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 sebagai pengiktirafan terhadap prestasi kerja, integriti, disiplin, profesionalisme serta komitmen tinggi dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab.
Menurut beliau, pengiktirafan tersebut diharap menjadi pemangkin kepada seluruh warga kerja untuk terus meningkatkan prestasi serta membudayakan kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan dan rakyat.
“Sebagai penjawat awam, setiap amanah yang dipikul perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, berintegriti dan profesional kerana setiap tindakan yang diambil mencerminkan kredibiliti LPKP Sarawak sebagai sebuah agensi yang sentiasa komited memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya lagi.
Mengulas mengenai Sambutan Hari Gawai, beliau berkata perayaan tersebut bukan sekadar diraikan sebagai tradisi masyarakat Dayak, malah menjadi wadah memperkukuh perpaduan, semangat kekeluargaan dan keharmonian dalam kalangan warga kerja yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang.
Mengakhiri ucapannya, Puan Cornelia menyeru seluruh warga LPKP Sarawak agar terus mengamalkan budaya saling menghargai, memperkukuh semangat kerja berpasukan dan bersama-sama membawa organisasi ke arah kecemerlangan yang lebih tinggi.

Kami Sedia Berkhidmat

Dapatkan khidmat nasihat daripada kami berkaitan pelesenan dan perkhidmatan semasa kami.

Hubungi kami!