LPKP Sarawak Dianugerahkan Sijil Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) Daripada MPC-Tahniah diucapkan
KUCHING, 20 November 2025 – Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak telah dianugerahkan Sijil Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) daripada Malaysia Productivity Corporation (MPC) bersempena dengan Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2025 yang diadakan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), pagi tadi.
Sijil penghargaan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar kepada Pengarah LPKP Sarawak, Puan Cornelia Wong Chui.
Penganugerahan tersebut adalah di atas kejayaan LPKP Sarawak melaksanakan Projek RKB: Meningkatkan Kecekapan Proses Permohonan Lesen Kenderaan Barangan Untuk Memasuki Negeri Sabah Daripada 13 Hari Kepada Serta Merta.
Untuk makluman, sebelum ini, pemilik Lesen Pembawa ‘A’ Sarawak yang ingin beroperasi di Negeri Sabah perlu mendapatkan surat sokongan LPKP Sarawak untuk dikemukakan kepada LPKP Sabah bagi tujuan kelulusan yang mengambil masa sekitar 13 hari. Isu yang sama turut dihadapi oleh pemilik Lesen Pembawa ‘A’ Sabah yang mahu beroperasi di Sarawak.
Namun bermula 2 Januari 2025, pemilik Lesen Pembawa ‘A’ Sarawak tidak lagi perlu mengemukakan surat sokongan LPKP Sarawak kepada LPKP Sabah. Begitu juga dengan pemilik Lesen Pembawa ‘A’ Sabah yang mahu beroperasi di Sarawak. Surat sokongan hanya diperlukan bagi urusan memasuki Negara Brunei Darussalam sahaja.
Sekalung penghargaan dan ucapan tahniah buat Puan Cornelia serta warga LPKP Sarawak di atas pencapaian tersebut. Semoga anugerah tersebut menjadi pembakar semangat warga LPKP Sarawak agar terus memberikan khidmat ke arah transformasi industri pengangkutan kenderaan perdagangan di Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi.







