20.01.2026: LPKP Sarawak anjur Sesi Libat Urus bersama Persatuan Teksi di Sarawak
KUCHING, 20 Januari 2026 – Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, Encik Michael Kong Feng Nian telah mempengerusikan Sesi Libat Urus bersama Persatuan Teksi di Sarawak bertempat di Ibu Pejabat LPKP Sarawak di Jalan Simpang Tiga.
Sesi libat urus tersebut diadakan adalah bertujuan untuk membincangkan cadangan penambahbaikan dasar-dasar baharu lesen Kelas Teksi di samping mengenalpasti isu dan cabaran yang dihadapi oleh pengusaha teksi di Sarawak.
Manakala itu, sesi taklimat cadangan penambahbaikan dasar-dasar baharu lesen Kelas Teksi telah disampaikan oleh Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perancangan Strategik, Encik Abang Zulkarnain Abang Haji Ibrahim.
Untuk makluman, bermula tahun lepas, LPKP Sarawak telah mengkaji semula dan mengeluarkan dasar-dasar baharu lesen Pembawa A, lesen Pembawa C, lesen kelas Bas Berhenti-henti dan lesen kelas Bas Pekerja yang telah mula dikuatkuasakan pada Oktober 2025.
Seramai 21 orang ahli persatuan dan pengusaha teksi daripada Kuching, Sarikei, Sibu, Bintulu, Marudi, Miri serta Limbang telah menyertai sesi libat urus tersebut yang diadakan secara fizikal dan atas talian. Peserta-peserta daripada luar Kuching telah berkumpul di pejabat LPKP Cawangan Sibu dan Bilik Mesyuarat LPKP Cawangan Miri bagi menyertai sesi libat urus secara atas talian.
Hadir sama ke sesi libat urus tersebut ialah Pengarah LPKP Sarawak, Puan Cornelia Wong Chui; Pengarah JPJ Sarawak, Encik Norizan Jili; Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Bingkok anak John; serta pegawai-pegawai kanan LPKP Sarawak.
#MOTMalaysia











