8 Jan 2026 : LPKP Sarawak anjur Sesi Libat Urus bersama Persatuan Bas Sekolah di Sarawak
KUCHING, 8 Januari 2026 – Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, Encik Michael Kong Feng Nian telah mempengerusikan Sesi Libat Urus bersama Persatuan Bas Sekolah di Sarawak bertempat di Ibu Pejabat LPKP Sarawak di Jalan Simpang Tiga pagi tadi.
Sesi libat urus tersebut diadakan adalah bertujuan untuk membincangkan cadangan dasar-dasar baharu lesen kelas Bas Sekolah di samping mengenalpasti isu dan cabaran yang dihadapi oleh pengusaha bas sekolah di Sarawak.
Selain itu, sesi pagi ini juga merupakan perjumpaan kali pertama Encik Michael Kong bersama ahli-ahli Persatuan Bas Sekolah sepanjang tempoh beliau dilantik sebagai Pengerusi LPKP Sarawak.
Untuk makluman, bermula dari tahun lepas, LPKP Sarawak telah mengkaji semula dan mengeluarkan dasar-dasar baharu lesen Pembawa A, lesen Pembawa C, lesen kelas Bas Berhenti-henti dan lesen kelas Bas Pekerja. Ke semua dasar-dasar terkini lesen tersebut juga telah mula dikuatkuasakan pada Oktober 2025.
Seramai 7 orang ahli Persatuan Bas Sekolah dari Kuching, Samarahan dan Miri telah menghadiri sesi libat urus tersebut yang diadakan secara fizikal manakala 9 orang wakil dan pengusaha bas sekolah di Sibu telah menyertai secara atas talian bertempat di pejabat LPKP Cawangan Sibu.
Hadir sama ke sesi libat urus tersebut ialah Timbalan Pengarah, Encik Razami Mohamad Jamali; Ketua Bahagian Perancangan Strategik, Encik Abang Zulkarnain Abang Haji Ibrahim; Pegawai Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Sarawak, ASP Mohamad Radzi bin Hatta; Ketua Seksyen Operasi JPJ Sarawak, Encik Saifullah Haji Ali serta Pengerusi Gabungan Persatuan Bas Sekolah Sarawak, Puan Mary anak Akir.

















