5 Februari 2026 LPKP Sarawak anjur Sesi Libat Urus bersama KWSP dan pihak Operator e-Hailing di Sarawak
KUCHING, 5 Februari 2026 – Pengarah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, Puan Cornelia Wong Chui telah mempengerusikan Sesi Libat Urus bersama pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pihak Operator e-Hailing (EHO) di Sarawak bertempat di Ibu Pejabat LPKP Sarawak, Jalan Simpang Tiga.
Sesi libat urus tersebut diadakan adalah bertujuan untuk berkongsi maklumat berhubung pelaksanaan i-Saraan Plus KWSP bagi pekerja e-Hailing dan p-Hailing sebagaimana pengumuman Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2026 tahun lepas sebagai salah satu inisiatif untuk memperkukuh perlindungan sosial dan mempertingkat simpanan persaraan rakyat Malaysia merentas semua lapisan pendapatan.
Sesi taklimat Inisiatif i-Saraan Plus KWSP bagi pekerja e-Hailing & p-Hailing telah disampaikan oleh Pengurus Jabatan Pengurusan Produk & Pemasaran KWSP, Encik Affan Aimaduddin Azami.
Seramai 9 orang wakil syarikat EHO yang beroperasi di Sarawak iaitu Grabcar, Maxim dan MyCar telah menghadiri sesi libat urus tersebut yang turut diadakan secara fizikal dan dalam talian.
Hadir sama ke sesi libat urus tersebut ialah Timbalan Pengarah LPKP Sarawak, Encik Razami Mohamad Jamali; Pengurus Jabatan Pengurusan Produk & Pemasaran KWSP, Puan Shal Faida Hamzah; Pengurus KWSP Sarawak, Encik Mohd Alauddin Khalid @ Chik; Penasihat Perhubungan KWSP Sarawak, Puan Syafiqah Azizul; serta pegawai-pegawai kanan LPKP Sarawak.











