LPKP Sarawak anjur Mesyuarat Penambahbaikan Dana Bantuan Sementara Pengusaha Bas Berhenti-Henti (DBSPB) bersama Syarikat Pengusaha Bas Berhenti-Henti di Kuching
KUCHING, 17 November 2025 – Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, Encik Michael Kong Feng Nian telah mempengerusikan Mesyuarat Penambahbaikan Dana Bantuan Sementara Pengusaha Bas Berhenti-Henti (DBSPB) di Sarawak bertempat di Ibu Pejabat LPKP Sarawak di Jalan Simpang Tiga pada 7 November 2025 yang lepas.
Mesyuarat tersebut diadakan adalah bertujuan untuk memberi penerangan kepada wakil syarikat bas mengenai kewajipan pemasangan Sistem Tiket Elektronik (ETM) dan Global Positioning System (GPS) di dalam Bas Berhenti-Henti seperti yang ditetapkan di dalam dasar baharu Lesen Kelas Bas Berhenti-henti yang telah berkuat kuasa mulai 1 November 2025.
Seramai 5 orang wakil syarikat bas dari Bahagian Kuching telah menghadiri mesyuarat tersebut yang diadakan secara bergilir di antara syarikat yang terlibat.
Hadir sama ke mesyuarat tersebut ialah Ketua Bahagian Perancangan Strategik LPKP Sarawak, Encik Abang Zulkarnain Abang Haji Ibrahim; Penolong Setiausaha, Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS), Puan Yong Zheng Yang; Ketua Bahagian Pematuhan, Encik Faizul Azri Suhaili; Pegawai Undang-Undang, Puan Jacqueline Charlie serta wakil Syarikat Makhoman Sdn. Bhd., Encik Truman Yiin.








