20.11.2026 : RM200,000 UNTUK PENDIDIKAN — LPKP SARAWAK PERKASA DUA SEKOLAH ANGKAT MADANI
Published On: November 24, 2026Categories: Aktiviti, Galeri, Makluman

KUCHING, 20 NOVEMBER 2026 – Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak terus memperkukuh komitmennya dalam menyokong pembangunan pendidikan dan kesejahteraan komuniti menerusi pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI Tahun 2026, melibatkan penyaluran peruntukan keseluruhan sebanyak RM200,000 kepada dua buah sekolah di Kuching.
Penyerahan mock cheque telah disempurnakan oleh Pengerusi LPKP Sarawak, Encik Michael Kong Feng Nian, kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana, Encik Hairee bin Mohamad; dan Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua No. 2, Encik Siew Kung Ling dalam dua sesi berasingan yang berlangsung di sekolah terbabit petang ini. Turut hadir ialah Ahli Parlimen Stampin, YB Tuan Chong Chieng Jen; Pengarah LPKP Sarawak, Puan Cornelia Wong Chui; serta pegawai daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Pejabat Pendidikan Daerah Kuching.
Program Sekolah Angkat MADANI merupakan antara inisiatif Kerajaan MADANI yang bertujuan memperkukuh kerjasama strategik antara kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan dengan institusi pendidikan dalam usaha meningkatkan kemudahan serta kualiti persekitaran pembelajaran di sekolah-sekolah terpilih.
Pada peringkat awal pelaksanaannya, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah diluluskan peruntukan berjumlah RM400,000 bagi pelaksanaan program tersebut yang melibatkan empat (4) buah sekolah. Walau bagaimanapun, mengambil kira kepentingan inisiatif ini serta keperluan untuk memperluas manfaatnya kepada lebih banyak institusi pendidikan, MOT telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) bagi mendapatkan tambahan peruntukan dan peluasan bilangan sekolah angkat di bawah kementerian tersebut.
Hasil daripada permohonan berkenaan, MOF telah meluluskan tambahan sebanyak 20 buah Sekolah Angkat MADANI kepada jabatan dan agensi di bawah MOT, dengan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi setiap sekolah. Kelulusan tambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM2.4 juta yang melibatkan 24 buah Sekolah Angkat MADANI di bawah MOT.
Sejajar dengan peluasan inisiatif tersebut, LPKP Sarawak turut diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan Program Sekolah Angkat MADANI di Sarawak dengan melibatkan dua (2) buah sekolah di Kuching, iaitu Sekolah Kebangsaan Laksamana dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua No. 2; menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan yang disalurkan melalui LPKP Sarawak berjumlah RM200,000.
Menerusi inisiatif tersebut, setiap sekolah menerima peruntukan sebanyak RM100,000 bagi melaksanakan projek penambahbaikan kemudahan sekolah berdasarkan keperluan yang telah dikenal pasti.
Bagi SK Laksamana, peruntukan berkenaan akan dimanfaatkan untuk pembelian lima (5) unit Smartboard 75” Munix RIO-75W/3980MT yang dilengkapi Sliding Whiteboard serta pakej perisian Kecerdasan Buatan (AI) untuk kegunaan murid. Selain itu, peruntukan turut merangkumi kerja-kerja menaik taraf Pejabat Am, Bilik Khas Bahasa Arab dan Bilik Mesyuarat sekolah.
Sementara itu, bagi SJK (C) Chung Hua No. 2, peruntukan tersebut akan digunakan bagi melaksanakan kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf lantai dewan sekolah bagi menyediakan kemudahan yang lebih selesa, selamat dan kondusif untuk kegunaan murid serta warga sekolah.
Dalam ucapannya, Encik Michael menegaskan bahawa Program Sekolah Angkat MADANI bukan sekadar penyaluran bantuan kewangan, malah mencerminkan komitmen dan tanggungjawab sosial agensi Kerajaan dalam menyokong pembangunan pendidikan serta kesejahteraan masyarakat.
Beliau turut menyatakan bahawa peranan LPKP Sarawak sebagai sebuah agensi di bawah MOT bukan sahaja tertumpu kepada aspek kawal selia dan pelesenan kenderaan perdagangan, tetapi turut merangkumi sokongan terhadap agenda pembangunan negara yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
LPKP Sarawak merakamkan penghargaan kepada MOF dan MOT atas sokongan serta kepercayaan yang diberikan dalam menjayakan inisiatif ini. Penghargaan turut diberikan kepada pihak pengurusan dan warga pendidik kedua-dua buah sekolah atas kerjasama yang telah diberikan.
LPKP Sarawak berharap agar peruntukan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya serta memberi impak positif kepada kemudahan pembelajaran dan pembangunan potensi murid, sekali gus menyumbang kepada pembentukan generasi masa hadapan yang berilmu, berdaya saing dan menghayati nilai-nilai MADANI.
LPKP Sarawak terus komited. Bergerak seiring, melangkah ke hadapan.
#LPKPSarawak
#MOTMalaysia
#SekolahAngkatMadani
#MADANIBekerja

Kami Sedia Berkhidmat

Dapatkan khidmat nasihat daripada kami berkaitan pelesenan dan perkhidmatan semasa kami.