28.10.26 : BANTUAN RM1,000 RINGANKAN BEBAN PEMANDU TEKSI, KERETA SEWA DAN BAS SEKOLAH DI LIMBANG
LIMBANG, 28 Oktober 2026 – Seramai 13 orang penerima yang terdiri daripada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di Limbang menerima Bantuan Khas Kewangan secara one-off sebanyak RM1,000 seorang menerusi inisiatif Kementerian Pengangkutan Malaysia.
Penyerahan bantuan melalui baucar tunai tersebut disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook, semasa Majlis Pecah Tanah Pejabat Baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Limbang.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pengangkutan, YB Datuk Hasbi Haji Habibullah serta Pengarah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, Puan Cornelia Wong Chui.
Inisiatif bantuan ini merupakan usaha Kerajaan MADANI bagi meringankan beban kewangan serta membantu menjaga kebajikan pengusaha dan pemandu pengangkutan awam yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada masyarakat setempat.
Pemberian bantuan ini juga mencerminkan keprihatinan Kerajaan terhadap sumbangan pengusaha dan pemandu pengangkutan awam dalam memastikan kesinambungan perkhidmatan mobiliti yang diperlukan oleh masyarakat.
LPKP Sarawak terus komited dalam menyokong usaha Kerajaan memperkasa sektor pengangkutan awam serta menjaga kebajikan pengusaha dan pemandu demi kesejahteraan rakyat.

















