13.10.2026 : SATU KLIK, SERIBU RISIKO — WARGA LPKP SARAWAK DIPERKASA DENGAN KESEDARAN SIBER
Published On: Oktober 14, 2026Categories: Aktiviti, Galeri, Makluman

KUCHING, 13 Oktober – Kesedaran terhadap ancaman jenayah siber merupakan aspek penting dalam memastikan keselamatan maklumat serta penggunaan teknologi digital secara bertanggungjawab, khususnya dalam persekitaran kerja yang semakin bergantung kepada sistem dan platform digital.
Sehubungan itu, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak telah menganjurkan Ceramah Kesedaran Jenayah Siber kepada Warga LPKP Sarawak sebagai salah satu inisiatif untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran warga kerja mengenai pelbagai ancaman jenayah siber serta langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil ketika menggunakan teknologi dan media digital.
Ceramah telah disampaikan oleh Tuan Noor Amin bin Abdul Halim daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, yang berkongsi pengetahuan berkaitan kepentingan meningkatkan kewaspadaan terhadap risiko jenayah siber dalam kehidupan seharian dan urusan pekerjaan.
Program turut dihadiri oleh Pengarah LPKP Sarawak, Puan Cornelia Wong Chui, bersama pegawai-pegawai, warga kerja di Ibu Pejabat serta warga LPKP Cawangan Sibu dan Miri yang turut mengikuti secara dalam talian.
Penganjuran ceramah ini mencerminkan komitmen LPKP Sarawak dalam memperkukuh kesedaran keselamatan digital dalam kalangan warga kerja, di samping memupuk budaya kerja yang lebih berwaspada, bertanggungjawab dan berintegriti dalam mengendalikan maklumat serta menggunakan kemudahan teknologi.
Satu klik yang tidak diteliti boleh membawa risiko yang besar. Oleh itu, berwaspada sebelum bertindak dan semak sebelum percaya merupakan langkah penting dalam membendung ancaman jenayah siber.
LPKP Sarawak terus komited. Bergerak seiring, melangkah ke hadapan.
#LPKPSarawak
#MOTMalaysia

Kami Sedia Berkhidmat

Dapatkan khidmat nasihat daripada kami berkaitan pelesenan dan perkhidmatan semasa kami.

Hubungi kami!