7 JULAI 2026 : OPERASI BERSEPADU PERKUKUH PEMATUHAN DAN KESELAMATAN KENDERAAN PERDAGANGAN
BINTULU, 7 Julai – Usaha memperkukuh keselamatan bas pekerja dan kenderaan perdagangan terus diperkasakan melalui pelaksanaan Operasi Bersepadu di jalan pesisir Miri-Bintulu yang diketuai oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak dengan kerjasama strategik beberapa agensi penguatkuasa dan kawal selia.
Operasi tersebut diketuai oleh Pengarah JPJ Sarawak, Tuan Norizan Jili, dan turut disertai oleh Pengerusi LPKP Sarawak, Encik Michael Kong Feng Nian; Pengarahnya, Puan Cornelia Wong Chui; Pegawai Turus Kepolisan Am, Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Sarawak, ASP Mohamad Radzi Hatta; Penolong Pegawai Tadbir Tinggi, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Sarawak, Encik Mohamad Roslan Entol; serta pegawai-pegawai penguatkuasa daripada agensi yang terlibat.
Pelaksanaan operasi ini memberi tumpuan kepada pemantauan tahap pematuhan kenderaan perdagangan terhadap syarat pelesenan, aspek keselamatan kenderaan, kelayakan pemandu serta pematuhan kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. Pendekatan bersepadu ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam memastikan setiap perkhidmatan dilaksanakan secara selamat, berdisiplin dan mengutamakan kebajikan pengguna.
Di samping memperkukuh penguatkuasaan, operasi ini turut menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengusaha dan pengendali kenderaan perdagangan mengenai kepentingan pematuhan terhadap peraturan demi mengurangkan risiko kemalangan serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam dan perdagangan.
Kerjasama erat antara agensi merupakan kunci kepada sistem pengangkutan yang lebih selamat, cekap dan berdaya tahan.
LPKP Sarawak akan terus komited menyokong inisiatif penguatkuasaan dan pemantauan bagi memastikan standard keselamatan pengangkutan sentiasa dipelihara demi kesejahteraan rakyat.














