LPKP Sarawak Santuni Komuniti di Karnival Mini MOT Jom Gagar Limbang 2026
LIMBANG, 5 Julai 2026 – Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak telah menyertai Karnival Mini Kementerian Pengangkutan (MOT) Jom Gagar Limbang 2026 sebagai salah sebuah agensi pempamer sepanjang penganjuran karnival yang berlangsung pada 4 hingga 5 Julai 2026 bertempat di Panggung Amphitheater, Waterfront Limbang.
Penyertaan LPKP Sarawak dalam program anjuran MOT ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan agensi untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam melalui perkongsian maklumat, khidmat nasihat serta hebahan berkaitan fungsi dan peranan LPKP kepada masyarakat setempat.
Karnival ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, YB Datuk Hasbi Habibollah, pada 4 Julai 2026.
Rombongan LPKP Sarawak telah diketuai oleh Pengarahnya, Puan Cornelia Wong Chui, yang turut meluangkan masa menyantuni para pengunjung di reruai LPKP Sarawak serta berinteraksi dengan masyarakat Limbang bagi mendapatkan maklum balas dan berkongsi maklumat berkaitan perkhidmatan yang disediakan oleh LPKP Sarawak.
Sepanjang dua hari penganjuran, reruai LPKP Sarawak menerima kehadiran pengunjung yang mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan perkhidmatan pelesenan kenderaan perdagangan serta inisiatif yang dilaksanakan oleh LPKP Sarawak.
LPKP Sarawak merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia atas jemputan menyertai program ini serta tidak dilupakan kepada warga Limbang yang telah berkunjung ke reruai LPKP Sarawak.
LPKP Sarawak terus komited memperkukuh penyampaian perkhidmatan yang cekap, mesra serta berorientasikan rakyat.

















