LPKP SARAWAK & DAMRI PERKASA KERJASAMA PENGANGKUTAN RENTAS SEMPADAN
KUCHING, 3 Julai 2026 – Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Syarikat DAMRI, Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia dalam satu sesi perjumpaan yang berlangsung petang semalam di Bilik Mesyuarat LPKP Sarawak, Jalan Simpang Tiga, Kuching.
Sesi tersebut telah dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah LPKP Sarawak, Encik Razami Mohamad Jamali, manakala delegasi DAMRI diketuai oleh Pengurus Besar DAMRI Cawangan Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia, Bapak Ahmad Bukhari.
Pertemuan ini menjadi platform bagi memperkukuh hubungan dua hala serta membuka ruang perbincangan mengenai pelbagai perkara berkaitan pelesenan kenderaan perkhidmatan awam lintas sempadan, selaras dengan perkembangan jaringan pengangkutan antara Sarawak dan Kalimantan.
Antara perkara yang disentuh termasuk keperluan pematuhan terhadap peraturan pelesenan, prosedur pengoperasian perkhidmatan awam rentas sempadan serta perkongsian pandangan ke arah memperkemas urusan pelesenan demi memastikan perkhidmatan yang lebih sistematik, selamat dan berkualiti.
Timbalan Pengarah LPKP Sarawak, Encik Razami Mohamad Jamali berkata, sesi seumpama ini amat penting bagi memperkukuh persefahaman antara pihak berkuasa pelesenan dan pengendali pengangkutan awam, khususnya dalam menghadapi perkembangan sektor pengangkutan rentas sempadan yang semakin pesat.
“LPKP Sarawak sentiasa mengalu-alukan sesi libat urus seperti ini kerana ia membuka ruang kepada perkongsian maklumat dan pemahaman yang lebih jelas mengenai keperluan pelesenan serta aspek pematuhan peraturan. Kerjasama erat antara kedua-dua pihak diyakini mampu menyokong pembangunan sistem pengangkutan awam rentas sempadan yang lebih cekap, selamat dan mampan, sekali gus memperkukuh hubungan strategik antara Sarawak dan Kalimantan.”
LPKP Sarawak kekal komited dalam memperkukuh jaringan kerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan sistem pengangkutan awam yang efisien, berdaya saing dan memenuhi keperluan pengguna, selaras dengan aspirasi pembangunan wilayah dan pengukuhan hubungan serantau.







