22 Mei 2026 : LPKP SARAWAK SALUR KHIDMAT NASIHAT PELESENAN BAGI PENGOPERASIAN BAS KUTS
Published On: Mei 22, 2026Categories: Aktiviti, Berita, Makluman
KUCHING, 22 Mei – Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak telah mengadakan satu sesi perbincangan bersama Bahagian Operasi & Penyelenggaraan, Sarawak Metro bagi membincangkan aspek pelesenan berkaitan pengoperasian bas di bawah projek Kuching Urban Transportation System (KUTS), bertempat di Ibu Pejabat, Jalan Simpang Tiga, pagi tadi.
Sesi perbincangan telah dipengerusikan oleh Pengarahnya, Puan Cornelia Wong Chui, manakala pihak Sarawak Metro pula diketuai oleh Pengurus Kanan, Operasi & Penyelenggaraan, Encik Mohamed Fairoze Mohamed Hadli.
Sesi perbincangan tersebut adalah bertujuan untuk mendapatkan pandangan serta khidmat nasihat daripada pihak LPKP Sarawak berhubung prosedur, keperluan dan pematuhan pelesenan bagi memastikan pelaksanaan operasi bas KUTS dapat dilaksanakan secara teratur, selamat dan selaras dengan peraturan semasa.
Perbincangan turut memberi fokus kepada aspek penyelarasan operasi serta keperluan teknikal berkaitan pengoperasian pengangkutan awam moden dalam usaha memperkukuh sistem mobiliti bandar yang lebih efisien dan mampan di Sarawak.
LPKP Sarawak komited untuk terus bekerjasama dengan pelbagai agensi dan pihak berkepentingan dalam memastikan pembangunan sistem pengangkutan awam di Sarawak dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik, berdaya maju dan memberi manfaat kepada rakyat.
Hadir sama ialah Timbalan Pengarah LPKP Sarawak, Encik Razami Mohamad Jamali; Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pelesenan, Puan Rosidah Mohtar serta pegawai-pegawai kanan daripada kedua-dua belah pihak.

Kami Sedia Berkhidmat

Dapatkan khidmat nasihat daripada kami berkaitan pelesenan dan perkhidmatan semasa kami.

Hubungi kami!