9 Mei 2026 : Rakyat Kini Nikmati Rangkaian Laluan BAS.MY Kuching Yang Lebih Meluas
SAMARAHAN, 9 Mei – Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook hari ini telah menyempurnakan Majlis Perasmian Laluan Baharu BAS.MY Kuching yang berlangsung di The Summer Mall.
Sebanyak enam laluan baharu telah diperkenalkan yang mengambil kira keperluan rakyat setempat serta menghubungkan kawasan perumahan, pusat komersial, institusi pendidikan serta kemudahan awam utama khususnya di kawasan Kuching, Serian, Samarahan dan seterusnya memudahkan pergerakan harian masyarakat di samping mampu merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
Enam laluan tersebut ialah laluan Q11 Arang Road, Q12 Taman Hui Seng, Q13 Siburan, Q14 Summer Mall, Q15 Stutong Baru/Kuching Sentral dan Q16 Taman Sukma.
Dalam ucapannya, beliau berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak sentiasa prihatin serta mendengar permohonan keperluan penambahan laluan perkhidmatan BAS.MY di Bandaraya Kuching.
“Saya juga dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Kerajaan bersetuju untuk memperluaskan Kad Konsesi BAS.MY kepada pelajar Tingkatan 6 serta pelatih-pelatih Institut Latihan milik Kerajaan,” kata YB Loke Siew Fook.
Tambah beliau, langkah ini akan memberi manfaat kepada 2350 orang pelajar Tingkatan 6 serta lebih 3200 orang pelatih yang sedang melanjutkan pengajian di Institut Latihan milik Kerajaan di sekitar Kuching dan Samarahan.
BAS.MY Kuching telah memulakan operasinya pada 5 Mac 2025 dengan 10 laluan meliputi Kuching dan Serian. Sehingga bulan April 2026, seramai 847,644 orang penumpang telah menggunakan perkidmatan tersebut.
Setakat ini seramai 15,283 orang telah mendaftar sebagai pemegang Kad Konsesi BAS.My Kuching dan syarikat pengendali turut menyediakan pendaftaran Kad Konsesi secara percuma kepada 300 orang yang terawal sempena majlis perasmian hari ini.
Majlis turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha MOT, Dato’ Seri Jana Santhiran Muniayan; Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan Sarawak, Datu Wong Hee Sieng; Pengerusi LPKP Sarawak, Encik Michael Kong Feng Nian serta Pengarah Urusan Biaramas Express iaitu syarikat pengendali BAS.MY Kuching, Encik Lai Sin Kiong.















