4 Mei 2026 : LPKP Sarawak Menyokong Pelaksanaan Bas Sekolah Percuma
KUCHING, 2 Mei 2026 – Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak telah mengadakan Sesi Pendaftaran dan Permohonan Lesen Bas Sekolah bagi menyokong pelaksanaan projek perintis Perkhidmatan Bas Sekolah Percuma yang diperkenalkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, YB See Chee How.
Inisiatif ini merupakan langkah progresif dalam memastikan pengoperasian perkhidmatan bas sekolah yang lebih selamat, teratur dan mematuhi keperluan pelesenan yang ditetapkan, selaras dengan usaha mempertingkat akses pengangkutan kepada pelajar sekolah.
Menurut Ketua Bahagian Pelesenan LPKP Sarawak, Puan Rosidah Mohtar, seramai 10 orang pengusaha bas sekolah yang terlibat telah hadir bagi membuat pendaftaran dan permohonan lesen bas sekolah pada sesi tersebut.
“LPKP Sarawak mengambil inisiatif membuka kaunter pendaftaran pada hari ini (Sabtu) demi memastikan setiap pengusaha yang terlibat boleh hadir untuk membuat pendaftaran dan permohonan lesen bas sekolah bagi memastikan pihak pengusaha mematuhi keperluan pelesenan yang ditetapkan, sekali gus menyokong pelaksanaan perkhidmatan bas sekolah yang lebih selamat dan berkualiti,” jelas beliau.
Melalui sesi ini, para pengusaha dan pemohon turut diberi penerangan secara langsung berhubung prosedur permohonan lesen, syarat-syarat berkaitan serta pematuhan kepada peraturan semasa.
LPKP Sarawak terus komited untuk menyokong pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi seperti ini dalam memperkukuh sistem pengangkutan awam, khususnya bagi perkhidmatan bas sekolah di Sarawak.






