6 Mac 2026 : LPKP Sarawak Anjur Sesi Taklimat Permohonan SKPS Bersama Persatuan Teksi di Bahagian Utara Sarawak
MIRI, 6 Mac 2026 – Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak telah menganjurkan Sesi Taklimat Permohonan Kad Fleet Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) kepada pemandu teksi dari Miri, Bintulu dan Limbang yang berlangsung di Bilik Mesyuarat LPKP Cawangan Miri.
Taklimat telah disampaikan oleh Dr. Noriqram Mohd Nor, Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Seksyen Pembangunan Petroleum, Bahagian Kawalan Petrol Subsidi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya.
Penganjuran sesi ini adalah susulan daripada maklum balas yang diterima semasa Sesi Libat Urus bersama Persatuan Teksi sebelum ini, yang memohon penjelasan lanjut berkaitan pelaksanaan Kad Fleet di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
Seramai 18 orang pemandu teksi dari sekitar Miri, Bintulu dan Limbang telah menyertai sesi taklimat tersebut bagi mendapatkan penerangan secara langsung mengenai proses permohonan dan pelaksanaan sistem berkenaan.
Program ini diharapkan dapat membantu meningkatkan kefahaman pengusaha dan pemandu teksi mengenai pelaksanaan SKPS serta memudahkan proses permohonan Kad Fleet bagi sektor pengangkutan awam.
Turut hadir ialah Ketua LPKP Cawangan Miri, Puan Elizebeth Mayang Thomas; Ketua KPDN Cawangan Miri, Encik Englebert Inggath anak Desmond Japar; serta Ketua Unit Komunikasi Korporat LPKP Sarawak, Puan Normah Ja’afar.












