8 Julai 2026 : LPKP Sarawak Perkukuh Agenda Industri, Pengusaha Lori Diberi Ruang Suarakan Pandangan
Published On: Julai 9, 2026Categories: Aktiviti, Galeri, Makluman
BINTULU, 8 Julai – Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak terus memperkukuh komitmennya dalam memperjuangkan kepentingan industri pengangkutan darat menerusi penganjuran Sesi Libat Urus bersama Persatuan Lori Sarawak yang berlangsung di Bilik SCS Scorecard, Pejabat Residen Bintulu, petang semalam.
Sesi libat urus yang dipengerusikan oleh Pengerusi LPKP Sarawak, Encik Michael Kong Feng Nian 江峰年 itu turut dihadiri oleh Pengarahnya, Puan Cornelia Wong Chui; Anggota Lembaga LPKP Sarawak, yang terdiri daripada Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak Tuan Norizan Jili; Pegawai Turus Kepolisan Am, Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak, ASP Mohamad Radzi Hatta serta wakil-wakil Persatuan Lori di Sarawak.
Perjumpaan tersebut menjadi platform penting bagi membincangkan isu-isu strategik yang memberi impak secara langsung kepada kelangsungan operasi pengusaha lori di Sarawak, selain memperkukuh kerjasama antara kerajaan dan pemain industri dalam mencari penyelesaian yang lebih praktikal serta mampan.
Selain membincangkan isu-isu strategik industri, wakil Persatuan Lori turut mengambil peluang mengemukakan pelbagai pertanyaan, cadangan serta maklum balas yang diterima daripada pemain industri kepada pihak LPKP Sarawak dan JPJ Sarawak.
Sesi dialog yang berlangsung secara terbuka itu memberi ruang kepada kedua-dua agensi untuk memberikan penjelasan berhubung aspek pelesenan, penguatkuasaan, pematuhan peraturan serta isu-isu operasi yang dihadapi oleh pengusaha lori.
Pendekatan ini mencerminkan komitmen LPKP Sarawak dalam memastikan setiap pandangan daripada pihak industri didengari dan diberi perhatian sebagai asas kepada penambahbaikan penyampaian perkhidmatan serta pembangunan dasar yang lebih efektif.
Berucap pada sesi tersebut, Encik Michael Kong menegaskan bahawa LPKP Sarawak sentiasa mengamalkan pendekatan konsultatif dalam merangka dasar dan inisiatif berkaitan industri pengangkutan perdagangan.
“Setiap pandangan dan cadangan daripada pemain industri amat penting dalam membantu kerajaan merangka penyelesaian yang bukan sahaja memenuhi keperluan semasa, malah mampu menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak secara berterusan. LPKP Sarawak komited menjadi pemudah cara yang sentiasa mendengar, memahami dan bertindak demi kepentingan industri,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Lori Sarawak atas kerjasama erat yang telah terjalin selama ini serta berharap sesi libat urus seumpama ini akan terus menjadi medium terbaik dalam memperkukuh hubungan strategik antara Kerajaan dan pemain industri.
Penganjuran sesi tersebut juga mencerminkan komitmen berterusan LPKP Sarawak dalam memastikan setiap cabaran yang dihadapi oleh industri pengangkutan perdagangan diberikan perhatian sewajarnya, selaras dengan aspirasi memperkasakan sistem pengangkutan darat yang lebih cekap, selamat, berdaya saing dan mampan demi menyokong agenda pembangunan ekonomi Sarawak.

Kami Sedia Berkhidmat

Dapatkan khidmat nasihat daripada kami berkaitan pelesenan dan perkhidmatan semasa kami.

Hubungi kami!