26.11.2026 : SATU HALA TUJU, SATU KOMITMEN – PENGARAH LPKP SARAWAK TURUN PADANG BERSAMA WARGA SIBU
SIBU, 26 November 2026 – Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak telah mengadakan Sesi Perjumpaan Pengarah LPKP Sarawak Bersama Warga LPKP Cawangan Sibu , bertempat di Pejabat LPKP Cawangan Sibu, Jalan Awang Ramli Amit.
Sesi perjumpaan yang diketuai oleh Pengarahnya, Puan Cornelia Wong Chui, dimulakan dengan penyampaian taklimat berkaitan Malaysia MADANI, diikuti dengan taklimat mengenai Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA).
Kedua-dua taklimat tersebut bertujuan memberikan pendedahan serta meningkatkan pemahaman warga kerja mengenai nilai-nilai teras Malaysia MADANI dan agenda reformasi perkhidmatan awam serta kepentingan menghayati prinsip-prinsip tersebut dalam pelaksanaan tugas serta tanggungjawab harian.
Program diteruskan dengan sesi perbincangan terbuka yang memberi ruang kepada warga LPKP Cawangan Sibu untuk berkongsi pandangan, mengemukakan isu serta membincangkan cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan tugas harian.
Sesi interaksi dua hala ini turut menjadi platform penting bagi pihak pengurusan mendapatkan maklum balas secara langsung daripada warga kerja, di samping mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam aspek pengurusan, operasi dan penyampaian perkhidmatan.
Melalui sesi perjumpaan seumpama ini, LPKP Sarawak berharap agar hubungan komunikasi antara pihak pengurusan dan warga kerja dapat terus diperkukuh, sekali gus memupuk budaya kerja yang lebih terbuka, responsif dan berorientasikan kecemerlangan perkhidmatan.
Hadir sama ialah Ketua Unit Komunikasi Korporat, Puan Normah Ja’afar; Penolong Pegawai Tadbir Kanan, LPKP Cawangan Sibu, Puan Aimizza Gani; dan Penolong Pegawai Tadbir, Unit Pentadbiran, Puan Saidatul Natasha Wahid.
LPKP terus komited. Bergerak seiring, melangkah ke hadapan.
#LPKPSarawak
#MOTMalaysia
#MADANIBekerja











