24 JULAI 2026 : STRIKERS KENTAL JOHAN PERTANDINGAN BOWLING LPKP SARAWAK 2026
KUCHING, 24 Julai – Semangat kesukanan, kerjasama berpasukan dan ukhuwah dalam kalangan warga kerja terus diperkukuhkan menerusi Pertandingan Bowling LPKP Sarawak Peringkat Ibu Pejabat 2026 anjuran Majlis Bersama Jabatan (MBJ)-AKRAB LPKP Sarawak yang berlangsung meriah di Megalanes, King Centre, Kuching.
Program yang menghimpunkan warga ibu pejabat LPKP Sarawak itu turut diserikan dengan kehadiran Pengarah LPKP Sarawak, Puan Cornelia Wong Chui serta Timbalannya, Encik Razami Mohamad Jamali, sekali gus mencerminkan komitmen pengurusan tertinggi dalam menyokong aktiviti yang memupuk kesejahteraan dan kebersamaan dalam organisasi.
Sebanyak enam pasukan telah berentap dalam suasana penuh semangat dan persaingan sihat, dengan setiap peserta mempamerkan aksi menarik bagi merebut gelaran juara. Setelah melalui saingan yang sengit, pasukan STRIKERS KENTAL berjaya muncul sebagai johan pertandingan, sekali gus membawa pulang gelaran juara edisi kali ini.
Dalam pada itu, Puan Cornelia turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur program atas komitmen dan usaha yang telah dicurahkan sehingga pertandingan tersebut berjalan dengan lancar.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada Haji Mohd Hafiez Abdillah selaku peneraju penganjuran serta seluruh ahli MBJ-AKRAB LPKP Sarawak yang telah bertungkus-lumus memastikan Pertandingan Bowling LPKP Sarawak Peringkat Ibu Pejabat ini berlangsung dengan jayanya. Syabas juga kepada semua enam pasukan yang telah menunjukkan semangat kesukanan, disiplin dan kerjasama yang amat membanggakan. Kemenangan bukanlah ukuran utama, sebaliknya semangat kebersamaan dan silaturahim yang terjalin itulah kejayaan sebenar. Saya berharap semangat kerjasama dan teamwork yang erat ini akan terus dikekalkan serta diperkukuhkan dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab di LPKP Sarawak pada masa akan datang,” katanya.
Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah berupa hamper yang disumbangkan oleh Puan Cornelia kepada para pemenang serta sesi bergambar sebagai tanda penghargaan kepada semua pasukan yang telah menjayakan pertandingan. Diharapkan program seumpama ini akan terus menjadi wadah dalam menyemarakkan budaya kerja yang positif, harmoni dan berprestasi tinggi selaras dengan aspirasi LPKP Sarawak ke arah penyampaian perkhidmatan yang cemerlang.










