24.11.2026 : MAXIM MALAYSIA PERKENAL PENGURUSAN BAHARU, PERKUKUH HUBUNGAN KERJASAMA BERSAMA LPKP SARAWAK
KUCHING, 24 November 2026 – Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak menerima kunjungan hormat daripada delegasi Maxim Malaysia yang diketuai oleh Pengerusi baharunya, Dato’ Tengku Rethwan bin Tengku Mansor, bersama Pengarah, Mohd Hazwan bin Musley dan Penasihat Korporat/Pembangunan Perniagaan, Dr. Mohamad Farid.
Delegasi Maxim Malaysia telah disambut oleh Timbalan Pengarah LPKP Sarawak, Encik Razami Mohamad Jamali bersama pegawai-pegawai kanan LPKP Sarawak.
Kunjungan ini bertujuan memperkenalkan barisan pengurusan baharu Maxim Malaysia, di samping berkongsi perkembangan terkini perkhidmatan e-hailing Maxim di Sarawak, merangkumi aspek pendaftaran dan pematuhan pemandu, liputan perkhidmatan serta cabaran semasa yang dihadapi.
Sesi pertemuan ini turut membuka ruang kepada perkongsian maklumat dan pertukaran pandangan antara kedua-dua pihak dalam usaha memperkukuh penyelarasan serta kerjasama berkaitan pengoperasian perkhidmatan e-hailing di Sarawak.
LPKP Sarawak kekal komited untuk memperkukuh hubungan bersama penggiat industri bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan awam, termasuk e-hailing, terus berkembang secara teratur, selamat dan mematuhi kerangka peraturan yang ditetapkan.
Bersama Memperkukuh Industri, Demi Perkhidmatan Pengangkutan Awam yang Lebih Teratur dan Mampan.
#LPKPSarawak
#MOTMalaysia
#EHailingSarawak
#PengangkutanAwam








