23.01.2026 : LPKP Sarawak anjur Majlis Makan Malam dan Sanjungan Budi 2026
Published On: Januari 26, 2026Categories: Aktiviti, Makluman
KUCHING, 23 Januari 2026 – Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak telah menganjurkan Majlis Makan Malam dan Sanjungan Budi 2026 bagi meraikan serta memberi penghargaan kepada warga Ibu Pejabatnya di atas segala sumbangan dan komitmen sepanjang tahun 2025, bertempat di salah sebuah hotel di sini.
Berucap semasa Majlis Makan Malam dan Sanjungan Budi 2026, Pengarah LPKP Sarawak, Puan Cornelia Wong Chui menzahirkan ucapan terima kasih kepada warganya di atas pencapaian LPKP Sarawak sepanjang tahun 2025.
Antara pencapaian tersebut ialah kejayaan pengoperasian 10 laluan BAS.MY Kuching yang bermula pada 5 Mac 2025; pengeluaran sebanyak tujuh (7) Pekeliling LPKP Sarawak yang telah mula berkuatkuasa pada Oktober 2025 serta penganugerahan Sijil Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada 20 November 2025 bersempena dengan Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2025.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar warga LPKP Sarawak terus memberikan kerjasama dan komitmen dalam menjalankan tugasan seharian di samping memperkukuh profesionalisme, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, serta bersedia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dan tuntutan semasa.
Pada masa yang sama, majlis pada malam tersebut turut meraikan salah seorang pegawainya iaitu Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perancangan Strategik, Encik Abang Zulkarnain Abang Haji Ibrahim yang akan berpindah tempat bertugas.
Beliau yang telah berkhidmat bersama LPKP Sarawak selama 10 tahun akan memulakan tugas baharu di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak hujung bulan ini.
Seluruh warga LPKP Sarawak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas segala jasa, khidmat bakti dan komitmen yang telah dicurahkan oleh Encik Abang Zulkarnain serta mendoakan agar beliau terus diberikan kesihatan yang baik, dipermudahkan urusan, serta mencapai kejayaan yang lebih gemilang di tempat baharu.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah, Encik Razami Mohamad Jamali; Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pelesenan, Puan Rosidah Mohtar; Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pematuhan, Encik Faizul Azri Suhaili serta pegawai-pegawai kanan LPKP Sarawak.

Kami Sedia Berkhidmat

Dapatkan khidmat nasihat daripada kami berkaitan pelesenan dan perkhidmatan semasa kami.

Hubungi kami!