21 April 2026 : LPKP Sabah & LPKP Sarawak Selaras Dasar Pelesenan, Perkukuh Sistem Pengangkutan Perdagangan Serantau
KUCHING, 21 April – Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan LPKP Sarawak terus memperkukuh kerjasama strategik menerusi penganjuran Mesyuarat Penyelarasan Dasar Pelesenan, bertempat di Ibu Pejabat LPKP Sarawak.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan bersama oleh Pengerusi LPKP Sabah, YB Vivian Wong Shir Yee dan Pengerusi LPKP Sarawak, Encik Michael Kong Feng Nian.
Mesyuarat kali ini diurus setiakan oleh LPKP Sarawak dan diadakan secara hybrid, dengan penyertaan Anggota-Anggota Lembaga daripada kedua-dua pihak.
Antara fokus utama perbincangan ialah penyelarasan dasar dan prosedur pelesenan sedia ada agar lebih efisien, responsif terhadap perkembangan semasa industri pengangkutan perdagangan. Usaha ini turut merangkumi penambahbaikan penyampaian perkhidmatan, pemantapan tadbir urus serta peningkatan kesejahteraan pemain industri.
Menurut YB Vivian Wong, “Kerjasama erat antara LPKP Sabah dan LPKP Sarawak amat penting dalam memastikan dasar pelesenan yang dilaksanakan sentiasa relevan dan selari dengan keperluan industri serta perkembangan semasa.”
Sementara itu, Encik Michael Kong berkata, “Penyelarasan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan, malah memperkukuh keyakinan pemain industri terhadap tadbir urus pelesenan yang lebih telus dan berdaya saing.”
Inisiatif tahunan ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkasa sistem pelesenan yang mampan serta menyokong pembangunan industri pengangkutan perdagangan yang lebih cekap dan berdaya tahan di rantau ini.
LPKP Sarawak — Memacu Pelesenan, Memperkasa Industri.











