19 Mei 2026 : LPKP Sarawak Perkasa Kefahaman Industri Perbankan terhadap Pelesenan Kenderaan Perdagangan
UCHING, 19 Mei – Satu sesi perjumpaan telah diadakan antara Pengerusi LPKP Sarawak, Encik Michael Kong Feng Nian 江峰年 bersama Persatuan Perbankan Sewa Beli Cawangan Sarawak petang tadi bagi membincangkan prosedur permohonan lesen kenderaan perdagangan di Sarawak.
Sesi tersebut diadakan susulan keperluan pihak institusi perbankan untuk memahami dengan lebih jelas proses pelesenan yang berkait rapat dengan urusan permohonan pembiayaan sewa beli (hire purchase) oleh pelanggan institusi perbankan yang terdiri daripada pemegang lesen kenderaan perdagangan.
Perbincangan turut memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan serta memperkukuh kerjasama dalam memastikan urusan melibatkan sektor pengangkutan perdagangan dan pembiayaan kewangan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan teratur.
Melalui sesi tersebut juga, LPKP Sarawak turut memberi penerangan berkaitan keperluan serta prosedur semasa bagi membantu meningkatkan kefahaman pihak perbankan terhadap proses mendapatkan lesen kenderaan perdagangan di negeri ini.
LPKP Sarawak sentiasa komited dan terbuka untuk menjalinkan kerjasama strategik serta libat urus berterusan bersama rakan-rakan pemegang taruh (stakeholders) demi memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik untuk industri pengangkutan di Sarawak.
Hadir sama ialah Timbalan Pengarah, Encik Razami Mohamad Jamali; Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pelesenan, Puan Rosidah Mohtar; Ketua Wilayah Auto Sarawak Maybank, Encik Frankie Wranthye serta ahli-ahli Persatuan Perbankan Sewa Beli Cawangan Sarawak.






