12 Mac : LPKP Sarawak Adakan Kunjungan Hormat kepada Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan
Published On: Mac 13, 2026Categories: Aktiviti, Makluman
KUCHING, 12 Mac – Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik melalui kunjungan hormat yang diketuai oleh Pengerusinya, Encik Michael Kong Feng Nian, bersama Pengarahnya Puan Cornelia Wong Chui kepada Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Cr. Tan Kai di Dewan Majlis, MPP, Jalan Batu 10, Kuching.
Pertemuan tersebut membuka ruang perbincangan mengenai beberapa isu berkaitan kenderaan perdagangan di kawasan taman perumahan, termasuk pelaksanaan Perintah Sekatan Berat (Weight Restriction Order – WRO) di jalan-jalan perumahan bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan penduduk setempat sentiasa terpelihara.
Sesi ini turut menjadi platform penting untuk bertukar pandangan serta mempererat hubungan kerjasama antara LPKP Sarawak dan Majlis Perbandaran Padawan, khususnya dalam usaha menangani cabaran pengurusan kenderaan perdagangan di kawasan pentadbiran MPP secara lebih berkesan dan terancang.
LPKP Sarawak akan terus komited memperkukuh kerjasama bersama agensi kerajaan dan pihak berkepentingan bagi memastikan sistem pengangkutan awam serta perkhidmatan kenderaan perdagangan di Sarawak adalah teratur, selamat dan berdaya mampan demi kesejahteraan rakyat.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi MPP, Cr. Mahmud bin Dato Sri Haji Ibrahim; Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, PDRM, Superintenden Bingkok anak John; Timbalan Pengarah LPKP Sarawak, Encik Razami Mohamad Jamali; serta Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Encik Mohamad Faizal David bin Jemat.

Kami Sedia Berkhidmat

Dapatkan khidmat nasihat daripada kami berkaitan pelesenan dan perkhidmatan semasa kami.

Hubungi kami!