PENAMBAHBAIKAN DASAR KE ATAS HAD UMUR PEMOHON BARU BAGI KELAS LESEN KERETA SEWA DAN TEKSI

Penetapan dasar sebelum ini bagi had umur pemohon lesen baru Teksi dan Kereta Sewa adalah 60 tahun dan ke bawah. Lembaga pada Mesyuarat Lembaga Bil.1/2017 telah bersetuju membuat penambahbaikan pada dasar pengeluaran lesen baru berhubung had umur pemohon kelas lesen Teksi dan Kereta Sewa dinaikkan kepada 63 tahun.

PENAMBAHBAIKAN TEMPOH DAN MEMPERLUAS KAWASAN OPERASI BAGI PERMOHONAN LUAS KAWASAN OPERASI (KOP) UNTUK KELAS LESEN KERETA SEWA DI SARAWAK

Lembaga pada Mesyuarat Lembaga Bil.8/2017 telah menetapkan bahawa tempoh Luas Kawasan Operasi (KOP) untuk kelas lesen Kereta Sewa boleh dipanjangkan dari empat belas (14) hari kepada dua belas (12) bulan dan kawasan operasi boleh diperluaskan daripada berdasarkan bahagian kepada kepada seluruh negeri Sarawak selaras dengan Seksyen 19(2) dibaca bersama Seksyen 22 Akta LPKP 1987.

PERLAKSANAAN PENGELASAN DAN PENETAPAN KADAR PENETAPAN KADAR BARU HAD BERAT DENGAN MUATAN (BDM) MELIBATKAN KATEGORI KENDERAAN BARANGAN DE-CONTROLLED

Pada 1 Oktober 2017, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak telah menguatkuasakan bagi Had Berat Dengan Muatan (BDM) untuk kelas Lesen Pembawa ‘C’ yang berlesen dengan LPKP Sarawak adalah 7,501kg dan ke atas. Manakala bagi kenderaan yang membawa barangan sendiri dengan had BDM 7,500kg dan ke bawah dikategorikan di bawah kenderaan De-Controlled.

PERMOHONAN KENAIKAN HAD UMUR TEKSI DI NEGERI SARAWAK DARIPADA 15 TAHUN KEPADA 20 TAHUN

Mesyuarat telah bersetuju dengan keputusan had umur teksi yang berumur 15 tahun akan dilanjutkan kepada 18 tahun sahaja dengan syarat-syarat seperti berikut :-

  1. Tidak dibenarkan memohon keluasan kawasan operasi (KOP) di seluruh negeri Sarawak. Hanya dibenarkan beroperasi di zon yang telah ditetapkan dalam lesen/permit.
  2. Nama pelesen teksi, bilangan penumpang, kawasan operasi dan nombor rujukan fail LPKP hendaklah ditandakan dengan jelas pada kedua-dua belah pintu hadapan kenderaan.
  3. Dasar pembaharuan :-
    • Kelulusan tempoh pembaharuan diberi tiga (3) tahun mulai dari tarikh tamat tempoh 15 tahun kenderaan beroperasi berdasarkan dari tarikh pendaftaran kenderaan dengan JPJ Sarawak.
    • Lulus pemeriksaan berkala PUSPAKOM (Laporan  VR1) yang dijalankan dua (2) kali setahun dan wajib dikemukakan keputusan pemeriksaan kepada LPKP Sarawak setiap kali pemeriksaan dibuat sepanjang tempoh pembaharuan tersebut.
    • Lulus Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV)   atau Lesen PSV sedia ada masih dalam tempoh sahlaku.
    • Cukai jalan yang masih berkuatkuasa. Sekiranya cukai jalan telah tamat tempoh dan Laporan VR1 masih berkuatkuasa, maka lesen akan dikeluarkan bagi tempoh setahun sahaja.
    • Lesen perniagaan masih sah.
    • Bagi Pemandu Teksi yang berumur 65 tahun dan ke atas adalah dikehendaki mempunyai Penolong Pemandu dan akan diberi kelulusan tempoh pembaharuan selama tiga (3) tahun atau mengikut baki tempoh dari tarikh tamat tempoh 15 tahun kenderaan beroperasi dan berdaftar dengan LPKP Sarawak. Bagi Pemandu Teksi yang berumur 65 tahun dan ke atas yang tiada mempunyai Penolong Pemandu pula akan diberi kelulusan tempoh pembaharuan selama setahun sahaja mulai dari tarikh tamat tempoh 15 tahun kenderaan beroperasi dan berdaftar dengan LPKP Sarawak. Tetapi mereka hendaklah mempunyai Lesen PSV yang masih dalam tempoh sahlaku.