PENAMBAHBAIKAN PEKELILING DASAR PENGELUARAN & DASAR PEMBAHARUAN LESEN PEMBAWA ‘A’

Lembaga pada Mesyuarat Lembaga Bil.2/2016 telah bersetuju membuat penambahbaikan pada dasar pengeluaran lesen baru dan pembaharuan Lesen Pembawa ‘A’ sedia ada untuk bahagian penolong pemandu seperti berikut:

Pemberian lesen diberikan kepada penduduk Negeri Sarawak atau mempunyai sekurang-kurangnya 51% pegangan ekuiti penduduk Negeri Sarawak yang hanya meliputi permohonan lesen baru sahaja. Walau bagaimanapun, penambahbaikan ini tidak tertakluk ke atas permohonan tambahan lesen bagi syarikat sedia ada yang telah berdaftar dengan LPKP Sarawak sebelum ini.

KRITERIA BAS BERUSIA MELEBIHI 10 TAHUN DAN KURANG DARI 15 TAHUN DARI TARIKH DIDAFTARKAN DI JPJ YANG DILESENKAN SEBAGAI BAS BERHENTI-HENTI BAGI TUJUAN UBAH SYARAT GANTI KENDERAAN

Lembaga pada Mesyuarat Lembaga Bil.7/2016 dan Bil.8/2016, telah bersetuju untuk menetapkan had umur melesenkan kenderaan untuk Bas Berhenti-Henti dipanjangkan kepada 15 tahun dari tarikh didaftarkan di JPJ dan kriteria sebuah kenderaan yang bakal dilesenkan sebagai bas perkhidmatan awam (BBH) dengan had umur melebihi 10 tahun dan kurang 15 tahun dari tarikh didaftarkan di JPJ bagi tujuan ubah syarat ganti kenderaan merangkumi aspek teknikal dan aspek imej seperti berikut:

Aspek Teknikal:

  1. Lukisan kenderaan yang akan digunakan sebagai BBH hendaklah diluluskan Ketua Pengarah dari segi spesifikasi pembinaan dan kegunaan
  2. Dilulus kegunaannya oleh Ketua Pengarah sebagai BBH;
  3. Lulus menjalani pemeriksaan awalan Puspakom (PG11A, PG13B & Lampiran B); dan
  4. No. Casis dan No. Enjin tidak terusik selaras dengan sek. 7 AKTA 333.

Aspek Imej:

  1. Keadaan tempat duduk yang selesa, kemas, tidak koyak dan bersih;
  2. Pengekalan warna korporat syarikat sedia ada; dan
  3. Warna kenderaan mestilah dalam keadaan tidak pudar, tidak tercalar dan memuaskan.

PENAMBAHBAIKAN GARIS PANDUAN MEMBATAL DAN MENGGANTUNG LESEN DI BAWAH SEKSYEN 25 AKTA 334

Lembaga pada Mesyuarat Lembaga Bil.7/2016 telah bersetuju mempertimbang cadangan penambahbaikan Garis Panduan Membatal dan Menggantung Lesen di Bawah Seksyen 25 AKTA 334 dalam usaha mewujudkan satu prosedur yang seragam dalam melaksanakan tindakan di bawah Sek.25 AKTA 334 untuk membatal atau mengantung lesen yang diluluskan dan diberikan mengikut AKTA.

Dalam hubungan ini, sesuatu lesen boleh di syor gantung atau batal oleh Lembaga berdasarkan kesalahan-kesalahan seperti berikut :

  1. Lesen Vokasional pemandu  telah digantung / dibatalkan pengarah JPJ di bawah Sek . 56 AKTA 333 atas sebab sesuatu perkara atau kes belum selesai dengan JPJ atau PDRM (kemukakan salinan surat tindakan JPJ Negeri);
  2. Kerap melakukan perlanggaran syarat lesen dengan bukti laporan mahkamah bagi kesalahan membawa melebihi had muatan dibenarkan / membuang muatan sebelum di timbang oleh pegawai pengangkutan atau pegawai polis. (terlibat 3 kali sabitan di mahkamah  PDRM /JPJ kemukakan laporan mahkamah);
  3. Sabitan mahkamah atas apa-apa kesalahan mengikut peruntukan AKTA 333 / 334 atau mana-mana bertulis yang lain (kemalangan atas kecuaian dan bahaya / penyeludupan / jenayah /  dadah / dll) Laporan mahkamah daripada mana-mana  agenda berkenaan;
  4. Membuat apa-apa penyataan palsu (Semasa permohonan atau memperbaharui lesen atau semasa rekod bertulis sesuatu sesi temu-siasat).

PENAMBAHBAIKAN GARIS PANDUAN PENUKARAN DAN PEMINDAHAN PEMILIKAN EKUITI SYARIKAT PENGANGKUTAN YANG BERLESEN DENGAN LPKP SARAWAK

Lembaga pada Mesyuarat Lembaga Bil.9/2016 telah bersetuju mempertimbangkan Penambahbaikan Garis Panduan Penukaran dan Pemindahan Pemilikian Ekuiti Syarikat Pengangkutan Yang Berlesen dengan LPKP Sarawak.

Seksyen 39(1) AKTA 334 menerangkan bahawa sesuatu lesen yang diberi di bawah Akta 334 hendaklah menjadi khas untuk pemegangnya dan tidak boleh dipindahmilik atau diserah hak. Menurut peruntukan Seksyen 39(4) Akta yang sama, pertukaran atau pemindahan pemilikan lesen yang melibatkan perubahan keseluruhan syarikat sedia ada kepada syarikat baru juga adalah boleh dipertimbangkan oleh Lembaga atas sebab-sebab yang Lembaga berpuas hati seperti:

  1. berlakunya kematian
  2. kebankrapan;
  3. ketakupayaan; dan
  4. berlakunya ketidakadilan di kalangan pemegang saham syarikat  sekiranya tidak dilakukan pemindahmilikan lesen itu.

Walau bagaimanapun, bagi pemilikan syarikat persendirian dan perkongsian pemindahmilikan 100% untuk pemilikan lesen adalah tidak dibenarkan kecuali kepada keluarga terdekat ataupun salah seorang pemegang ekuiti sedia ada masih kekal dengan pegangan ekuiti maksima dalam menjaga kepentingan syarikat.